Tuesday, September 29, 2009

Lenalah engkau dengan gesekan biola Mama


Waktu mama mula-mula mendaftar di fakulti, semua orang perhatikan mama seperti mama ini adalah seekor makhluk bertaring panjang sampai ke kaki, berbulu lebat hitam pekat dan ada api dalam mulut. Macam binatang dalam cerita ultramen yang Firdaus selalu tengok dengan atuk. Mama ni mengerikan ke sayang? Atau sebenarnya Mama yang paranoid dengan mata-mata yang memandang mama. Mama sendiri yang anggap diri mama seperti raksaksa, sedangkan mereka semua tak pernah kenal siapa mama. Mereka juga tak pernah tahu ranjau hidup mama. Tapi Firdaus dapat rasa kan apa yang mama rasa? Rasa ketakutan yang mencengkam tentang persepsi dan anggapan sekeliling? Tentang sejauhmana mama akan diadili? Mama tahu, Firdaus seorang sahaja yang faham rasa itu. Mama selalu tahu.

Di sini semua borang aktiviti, borang kediaman, borang kursus, mama harus isi sayang. Bila part menulis status, mama selalu melangkau dan kemudian mengambil masa yang lama untuk tulis status mama sayang. Bila mama menulis 'bujang' mama akan rasa serba salah terhadap Firdaus. Rasa serba salah yang tak boleh mama beritahu. Dan mama tak boleh tulis 'sudah berkahwin'. Mama tidak pernah berkahwin sayang. Mama cuma boleh tulis mama ada seorang anak. Yang comel dan cerdik. Masa menulis ni mama selalu teringat geletek dan tawa engkau setiap kali mama cium dahi Firdaus. Tapi selalunya imaginasi mama terhapus bila Kak Rina kawan baik mama di fakulti yang tegur mama supaya realistik dan tidak mengelirukan pihak pengurusan. Menjadi seorang yang realistik itu payah sayang. Dan paling sedih bila kita sendiri tidak mampu menerima realiti yang berlaku atas diri kita sendiri. Akhirnya Kak Rina yang biasanya melunaskan semua borang mama. Dan mama di tulis dengan status 'bujang'. Selalunya setiap kali menghantar borang, hati mama pecah sayang. Pecah.

Mengapa biola? Firdaus mahu tahu? Setelah mama pilih untuk melahirkan Firdaus, Atuk nenek hanya mahu melihat senyuman mama. Mereka tidak pernah membantah apa sahaja yang terdetik difikiran mama. Mereka hanya mahu pastikan mama tidak akan menangis lagi. Entah apa agaknya yang mampu mama balas untuk mereka sayang? Tidak ada rasanya. Kalau mama hadiahkan shurga sekalipun, belum tentu boleh balas apa yang mereka beri pada mama. Dari dulu mama hanya tahu beri hempedu pada mereka, mama tak pernah beri madu. Mama hanya pandai meletakkan batu berat atas kepala mereka dan tinggalkan sampah untuk mereka bau. Mama kejam sayang. Atuk nenek adalah nadi mama sayang. Setiap degupnya adalah demi mereka. Tapi mama tak pandai luahkan rasa itu sayang. Mama tak tahu bagaimana caranya. Mama mahu melodi jadi ekspresi kepada emosi dan perasaan mama sayang. Mama mahu bunyi menjadi kata-kata untuk menyatakan betapa besar kasih sayang mama untuk mereka. Mama mahu cinta mama didefinisikan dalam irama biola yang mama gesekan. Firdaus fahamkan sayang? Firdaus faham. Mama tahu.

Mama harap Firdaus tunggu mama. 3 tahun saja sayang. Bila mama pulang nanti, setiap malam mama akan bercerita pada Firdaus macam ibu-ibu lain lakukan pada anak mereka. Cumanya mama tak mampu ceritakan kisah pahlawan, kisah binatang yang baik hati atau kisah putera raja yang menyelamatkan puteri dengan kata-kata yang keluar dari mulut mama. Mama hanya boleh gesekan biola ini untuk kamu sayang. Mama mahu dari kecil lagi Firdaus belajar untuk mendengar dengan hati. Merasa dengan jiwa. Kata-kata belum tentu satu janji. Sebab mama pernah dengar manusia berjanji dan kemudian mungkiri. Dan dia pula orang yang mama paling percayai dan cintai. Mama harap bunyi yang keluar dari tali biola yang mama gesek ini memberitahu segala-galanya tentang emosi mama. Segala-galanya tentang kita. Semuanya tentang cinta mama.

Jangan dendami dia sayang. Kita maafkan dia. Sebab perkara paling indah dalam hidup mama adalah Firdaus. Jika perkara itu tidak pernah terjadi, manakan mama dapat memeluk kamu seperti hari ini sayang. Penyesalan tidak pernah ada dalam kamus hidup mama setelah melihat kamu bernafas. Wahai Firdaus - kau syurga hati mama.

3 comments: