Tuesday, September 29, 2009

Cuba keringkan hati aku yang pernah basah


Menurut Kartika, saat dia bertemu dengan lelaki itu banjir baru sahaja menenggelamkan hatinya. Bah itu merosakkan seluruh tanaman dan bunga-bunga yang pernah berkembang. Punah-musnah. Saat mata mereka bertemu, ada lagi serpihan pasir-pasir yang berselerakkan. Ternyata banjir itu memberikan kesan yang sungguh tragis pada Kartika.

Mereka cuba bersama. Bergabung tenaga. Membersihkan sisa-sisa air kotor yang memedihkan. Mencuci jiwa. Mengharapkan musim bunga tumbuh dan mewangi. Membisikkan ke telinga Kartika bahawa cinta tidak pernah bersalah, dan jangan hukumi cinta. Meniupkan ke kalbunya bahawa - kita selalu punya satu sama lain.

Ternyata banjir menjadi satu fenomena yang kekal menjadi mozek hidup. Lelaki itu tidak mampu membersihkan banjir yang pernah melimpahi dada wanita yang dicintai itu. Walau 1001 baldi pun digunakan, penyedut air berteknologi tinggi sekalipun, ia masih gagal. Kerana usaha paling utama yang sepatutnya dibuat untuk membuang banjir itu bukan membersihkan banjir itu. Banjir tetap pernah berlaku dalam hidup Kartika. Masakan ia mudah dibuang begitu saja. Lelaki itu letih.

Kartika melangkah lagi. Dan masih lagi mencari lelaki yang mampu berjuang bersama untuk membuang banjir yang pernah meneggelamkannya. Setiap kali itu juga, hatinya basah.

No comments:

Post a Comment