Monday, October 5, 2009

Revenge-Fool


Malam itu aku masuk menyelinap ikut belakang pintu rumah perempuan kau. Yang sedang ketawa mengilai waktu inai dititip di jari kaki dan tangan. Aku mengendap masuk di celah-celah makcik-makcik berpunggung lebar yang sedang bercerita pengalaman waktu malam di tanggalkan bra dan celana dalam.

Apabila mereka mabuk dengan kisah-kisah gratis itu, aku masukkan serbuk kopi 2 peket. Kopi Cap Kepala unta. Untuk mengadunkan warna merah menjadi lebih merah daripada yang diharapkan. Hitam barangkali. Dan pastinya dia akan di ingati sebagai pengantin paling ghotic sepanjang zaman. Marilyn Monson pasti terharu dan membuat standing ovation ketika majlis menepung tawar sekiranya dijemput nanti.

Di tepi katil, aku nampak busana pengantin yang bakal kau dan perempuan kau peragakan esok. Aku seluk poket dan keluarkan gunting 50 sen yang aku beli di 7 eleven. Aku potong lengan baju sehingga paras atas bahu dan kain songket hijau aku kerat jadi skirt yang perempuan kau akan gayakan di majlis persandingan. Dan pastinya dia akan menjadi pengantin paling berani dan sexy dengan rekaan ala-ala eksperimental kombinasi barat-timur yang bertema etnik kreatif dan pop rock.

Aku menyelinap pula ke ruang tamu tempat di mana bunga-bunga telur sedang di cucuk tersusun di atas batang pisang dan di alas dengan bekas perak yang confirm mak kau beli kat Jakarta sebab harganya berganda murah jika dibandingkan dibeli di negara sendiri. Kau juga bukan seorang yang nasionalis dan tidak menyokong langsung kempen membeli buatan Malaysia.

Seolah Tuhan mahu menolong, telur-telur belum lagi di masukkan ke dalam bekasnya dan apabila lihat kanak-kanak berlari dan bising masuk keluar dari dalam rumah, tangan aku pantas menekan dan meramas telur-telur yang ada dalam bakul. Ketika itu aku bayangkan tangan kau yang meramas dan menekan-nekan seperti mana engkau pecahkan hati aku dulu.

Sepuluh tapak aku beredar keluar, aku dengar bunyi riuh rendah dari dalam rumah. Telur pecah! Telur pecah! Aku ketawa sambil cat walk seperti Tyra Bank, bangga sekali segala yang kau rancang berbulan-bulan hampir musnah.

Esoknya aku datang dengan berpakaian serba putih seolah bidadari kayangan. Dengan sepatu kaca cinderalla milik ibu, aku senyum pada semua tetamu yang diundang. Band kugiran yang sepatutnya mengiringi majlis kau telah aku sekat dari hadir dengan membayar harga 2 kali ganda dari apa yang kau tawar. Rasuah pada ketika ini menyelamatkan aku untuk banyak perkara. Majlis kau jadi sunyi sepi.

Tetamu ramai yang balik awal kerana aku beli langau dari kedai cina (yang sepatutnya di beli untuk tujuan memancing) dan terbangkan di tempat catering yang menghidang makanan untuk para tetamu. Mereka paranoid dengan penyakit seperti demam, cirit-birit, taun dan yang seangkatan dengannya jadi mereka hanya salam-salam dengan ibu bapa kau kemudian blah. Hadiah pun mereka bawa balik kerana tujuan asal untuk makan-makan free petang itu tidak seperti yang diharapkan.

Waktu yang paling kau dan pasangan kau tunggu tentunya waktu atas pelamin. Bunga rampai telah aku buang dan aku racik dengan daun bawang. Minyak wangi aku tukar dengan cuka. Masa di tepung tawar oleh sedara mara. Kau dan pasangan kau menahan bau busuk cuka dan daun bawang yang melekat-lekat atas muka dan rambut. Senyuman kau masih maintain. Senyum pasangan kau sama seperti cuka. Masam-kelat. Ditambah dengan inai gothic dan baju eksperimental, sememangnya ia menjadi lakaran kenangan paling takkan dilupakan buat kau dan dia. Eksesori tambahan – daun bawang + perfume cuka. Sempurna.

Bila kau sedar yang majlis itu sudah jadi seperti yang tak kau harapkan, kau mula pandang kiri kanan. Kau cuba hidu atas bawah. Bila kau pandang tengah, kau nampak aku yang sedang sengih. Kau pandang aku atas bawah. Depan belakang. Aku masih di situ dan masih sengih. Congratulation! Jerit aku. Kemudian aku lambai kau dengan ekor dress putih aku tanpa menoleh sedikit pun pada kau. Aku keluarkan cermin kecil untuk intai kau seolah-olah side mirror, dengan harapan kau akan kejar dan memeluk aku dan kemudian akan berkali-kali ucap maaf.

Tapi ternyata itu semua tidak berlaku. Dari cermin, aku lihat kau tarik tangan perempuan kau dan memeluk serta kucup dahinya. Dan aku nampak bibir kau miming pada dia “Abang minta maaf. No matter what, I still love you." Mereka berpelukan. Padat.

Masa tu aku teringat Austin O’Malley ada kata-

Revenge is often like biting a dog because the dog bit you.

Damn! Aku rasa aku sedang gigit hati aku sendiri.

Aku berjalan pulang dengan sepatu Cinderella pemberian ibu, membawa bersama hati yang pilu.

No comments:

Post a Comment